Identiti mahasiswa perlu “BERSIH” untuk pilihan raya kampus
Saya begitu tertarik dengan isu pilihan raya dalam dan luar negara pada ketika ini, secara tidak langsung memberi kesan kepada pilihan raya kampus yang sekarang ini hangat diperkatakan di setiap kampus kini. Pilihan Raya Kampus ini akan berlangsung pada sekitar pada bulan Januari ini.
Kalau mengikut isu di dalam negara kita, antara yang terhangat ialah isu pemilihan pemimpin-pemimpin Umno yang kini hangat diperkatakan di seluruh tanah air ini. Jawatan calon pemimpin yang paling hampir dengan mahasiswa ialah calon untuk pemimpin Ketua pemuda Umno yang sentiasa menjadi sebutan di peringkat lapisan belia
kini.
Calon yang paling menonjol kini ialah yang begitu popular dengan Myteam, Dampingi Mat Rempit, Pengurusi Forum Halal, Timbalan Presiden FAM dan Mengurangkan pengangguran dalam kalangan Siswazah. Setiap program ini sebenarnya cuba hendak memancing belia-belia di negara ini terutamanya mahasiswa dan mahasiswi.
Namun begitu, adakah program-program ini sudah pun membuahkan hasil dan memberikan sesuatu kepada muda-mudi kini?
Sukar untuk mempercayai bahawa bakal-bakal pemimpin masa depan negara kita ini sudah mula terjebak dengan politik wang yang akhirnya tidak memberi keuntungan kepada sesiapa pun. Dua lagi calon yang sedang hebat berkempen untuk menentang rasuah di dalam Umno tercemar apabila wujud blog yang cuba mengaitkan mereka dengan amalan terkutuk itu.
Blog Raksasa BN cuba mengaitkan beberapa nama yang didakwanya sebagai ejen kepada salah seorang calon ini. Dengan ini, secara jelas menunjukkan di dalam Umno sama ada di peringkat atas hingga ke bawah, rasuah telah menjadi satu penyakit barah yang agak sukar untuk mengubatinya bagi parti itu. Dan bagi pengikut-pengikut parti ini, sudah menjadi kebiasaan dengan amalan-amalan ini, dan mula terikut-ikut sehinggakan terbawa ke dalam pilihan raya kampus pula. Dengan itu, perkara ini adalah tidak mustahil akan berlaku di dalam kampus kerana duit adalah segala-galanya kerana selagi mereka masih berkuasa di dalam negara ini.
Oleh yang demikian, demokrasi di dalam negara kita sudah tercemar dan untuk mengembalikan kembali demokrasi ini memerlukan satu proses yang lama untuk memulihkannya kembali. Bagaimana kita hendak memiliki sistem demokrasi yang adil seperti mana yang berlaku kepada pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang akhirnya dimenangi oleh calon dari Parti Demokrat, Barrack Hussein Obama.
Sebagai pemimpin mahasiswa, saya memperlihatkan perkara ini secara serius bahawa pemimpin negara kita perlu bersikap dengan lebih terbuka dengan pendekatan yang sebaiknya bagi memberikan contoh yang terbaik buat bakal pemimpin negara pada masa depan negara.
penulis adalah:
Mohd Najmuddin Hasan
Mantan Timbalan Presiden 1 07/08
Persatuan Mahasiswa Ekonomi,
Universiti Islam Antarabangsa.
No comments:
Post a Comment